"Mana Mak?'
Jam 6.30 petang.
Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik
bungsu balik dari sekolah agama.
Ayah baru balik dari sawah.
Ayah tanya Mak, “Along mana?’
Mak jawab, “Ada di dapur tolong siapkan makan.”
Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”
Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”
Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”
Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”
Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”
Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi
kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”
Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang
sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan
bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.
Dua puluh tahun kemudian
Jam 6.30 petang
Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.
Ayah tanya Along, “Mana Mak?”
Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, “Tak tahu.”
Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”
Angah menonton tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.”
Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”
Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah.
Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?"
Ateh menjawab, “Entah.”
Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.
Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”
Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.
Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah
tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.
Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana
Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah
yang mencari-cari di mana Mak.
Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?"
Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi.
Tak reti nak balik!!”
Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik.
Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah.
Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di
depan pintu.
Mereka akan tanya, "Mana Mak." Apabila dapat nomor 1 atau kaki melecet main
bola
di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak
mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap
ketika.
Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya
'Mana Mak?"
Semakin anak-anak Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang
dari bibir anak-anak Mak .
Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana
sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak
akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.
Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur.
Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti.
Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan
bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.
Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak.
Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap
bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap
kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat.
Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi
merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu.
Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak
lakukannya.
Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah.
Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya.
Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta
anak Mak yang ini.
Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam
Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah
pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.
Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus
kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka
makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut
wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham.
Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata
kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni."
Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang
gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu.
Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali
Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu
sering singgah di kepala Mak.
Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.
Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak
makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati
anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.
Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.
Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat
gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.
Ayah
temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan
anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu.
Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam.
Ayah
tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak
Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung
masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak.
Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab,
"Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak berangkat."
Mak minta Mak Uda telepon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan balik
sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati
Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta. Mak
teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak
ada siapa yang datang jemput Mak.
Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak ingat kata-kata
ayah, “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja
sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah
sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa
menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada
peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.”
Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri.
Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.
Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan. Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.
Beberapa tahun kemudian Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.
Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.” Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.
Kini
Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.
Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa
kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak
tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang
selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak
semasa anak-anak Mak kecil dulu.
Mak pergi semasa Along,
Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along,
Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone
berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit
tenat.
Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.
Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..
Mak
tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu
ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai. Ayah sedih
sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,
"Mana Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?",
"Mana Alang?", "Mana Kak Cik?"
atau "Mana Adik?". Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan
ayah
itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin
dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada
setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak
tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.
Ayah
sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini
tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan
Adik , "Mana mak?" "
Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa
Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati
ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak
kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak
malam itu, "Cantiknya
kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat
Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal."
"Ayah, ayah....bangun." Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..
Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"
Ayah
tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun
soalan "Mana Mak?" masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke
akhir usia.
Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak
yang kadang-kadang lupa perasaan ibu. Kata orang hidup seorang ibu waktu
muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa. Kata Rasulullah saw.
ibu 3 kali lebih utama dari ayah.
Bayangkanlah berapa kali ibu
lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. Solat sunat
pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil. Berapa kerapkah kita
membiarkan deringan telepon panggilan dari ibu tanpa berjawab?
RENUNGKANLAH !!!!!
0 pendapat terbaik !:
Post a Comment